“Biarlah Mereka Selesaikan Sendiri” – Miera Leyana Enggan Masuk Campur Kes Suami Dengan Isteri Pertama
KUALA LUMPUR – Pelakon Miera Liyana mendedahkan tidak sesekali mencampuri urusan rumah tangga suami, Rosland Othman dengan isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib
Bercakap kepada program hiburan Melodi, Miera, 29, menegaskan, dia menyerahkan sepenuhnya kepada suami untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan isteri pertama.
- “Saya tidak akan sesekali masuk campur dan tidak akan komen berhubung masalah mereka. Biarlah mereka selesaikan sendiri.
“Apa yang saya tahu, saya mahu lebih fokus kepada rumah tangga, anak dan tugas sebagai isteri.
“Sekiranya memerlukan saya untuk masuk campur, itu berbeza. Bagi saya, ada ‘dinding’ antara saya dan pihak sebelah sana. Saya lebih suka buat hal saya, dia pula dengan urusan hidupnya,” ujar pelakon filem Apokalip X itu.
Miera berkata, dia memilih berdiam diri atas sebab tertentu, selama ini.
Katanya, dia seorang yang perahsia, lebih lagi, membabitkan soal rumah tangga.
“Sepanjang hampir 14 tahun dalam industri seni, saya sudah menghadapi pelbagai kontroversi, malah lebih teruk daripada ini pun pernah rasa.
“Justeru, berdiam diri adalah jalan yang terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengingatkan netizen agar tidak pantas membuat spekulasi kerana ada dua kisah di sebalik setiap cerita.
Namun, katanya, dia memilih memberikan sedikit sahaja kenyataan kerana mempunyai kisahnya yang tersendiri.
“Saya bukan bercakap saja-saja, tetapi disertakan bukit.
“Jika saya memilih berdiam diri pun ada sebab. Anda pun tahu saya dilanda pelbagai kontroversi, namun, disebabkan berkaitan soal rumah tangga, saya lebih suka menyimpannya sebagai rahsia.
“Cuma, netizen membuat spekulasi tidak betul. Sebab itulah, saya buat keputusan untuk memberikan sedikit kenyataan sebagai peringatan,” katanya lagi.
Miera mendirikan rumah tangga bersama Rosland pada 25 Julai 2020 menafikan menjadi punca kepada keretakan hubungan suaminya dengan isteri pertama.
Miera juga menafikan dakwaan berkahwin dengan Rosland kerana kedudukan, sebaliknya percaya jodoh, ajal maut dan pertemuan ditentukan Allah.
“Spekulasi saya berkahwin dengan suami sebab kaya, itu salah. Kenapa saya hendak berkahwin dengan lelaki yang ada anak lima?
“Lebih baik saya berkahwin dengan lelaki berstatus, ada duit dan single. Semua ini tidak benar kerana saya berkahwin dengan suami atas sebab jodoh.
“Siapa yang mengikuti perkembangan saya selama ini pasti tahu saya bercinta dengan lelaki yang bagaimana. Saya tidak bercinta dengan suami orang, tetapi saya bercinta lelaki berstatus, tetapi jodoh saya ditakdirkan bersama Rosland.
“Memang Rosland untuk saya dan saya terima dengan hati yang terbuka,” kata Miera.
Miera berkata, dia tidak selesa terlalu membahaskan soal perkahwinan, sebaliknya lebih gemar masyarakat memberikan fokus kepada kerjayanya.
Lagipun, katanya, dia mahu menjaga hati anak-anak terutama anak tirinya kerana enggan mental mereka terganggu.
“Saya dan suami tidak pernah babitkan anak-anak, sebab itulah saya memilih berdiam diri. Banyak sebab kenapa saya tidak mahu memberikan kenyataan.
“Ini kerana saya hendak menjaga hati anak-anak terutama anak Rosland. Mereka sudah menganggap saya seperti ibu, jadi fokus saya untuk menjadi ibu dan isteri, itu lebih baik daripada sibuk dengan kontroversi.
“Bagi saya, zaman kontroversi sudah berlalu. Setakat ini, saya memang tidak pernah bercerita masalah dengan anak-anak kerana tidak mahu mereka berdepan tekanan.
“Sebelum ini, jika ada yang bertanya mengenai isu rumah tangga, saya tidak mengiyakan dan menidakkan. Saya bagi jawapan di permukaan sahaja, jadi mereka fikir sendiri.
“Untuk mengatakan saya punca rumah tangga suami dan isteri pertama retak adalah tidak adil kerana ia kerja Tuhan,” katanya.
Sementara itu, Miera meminta agar berhenti menggunakan namanya untuk mendapatkan publisiti.
Katanya, dia sendiri tidak melalui jalan mudah untuk berada di tahap hari ini.
“Saya berlakon sejak usia 15 tahun, bukan senang saya mahu membina nama dalam industri. Zaman dahulu, tiada platform sosial media atau TikTok, hanya bersandarkan kepada bakat untuk dikenali.
“Jadi, janganlah gunakan nama saya untuk membahaskan sesuatu masalah kerana ia tidak adil. Jadi, hentikan guna nama saya untuk raih populariti kerana saya sangat berahsia mengenai soal peribadi.
“Sebab itulah saya lebih suka mengunci mulut daripada bercakap,” katanya. – THE VOKAL
Sumber: BERITA HARIAN