Berparti Sakan Sambil Teguk Arak, BCL Dan Tiko Jadi Cemuhan Warganet – “Carilah Jalan Yang Benar…”
Tatkala Bunga Citra Lestari (BCL) dan suaminya, Tiko Aryawardhana masih menikmati bahagia bergelar pengantin baharu, tular video mendakwa pasangan terbabit berpesta minuman keras.
Klip dikongsikan dalam sebuah akaun Instagram itu dipercayai dirakam di premis tempat berlangsungnya majlis resepsi mereka pada malam hari selepas pernikahan 2 Disember lalu.
Pasangan yang memilih pusat peranginan mewah Amankila, Bali itu kelihatan dikelilingi beberapa rakan sebelum Tiko, 43, mengedarkan gelas kecil dipercayai minuman keras.
Malah penyanyi lagu Wanita Terbahagia yang mengenakan gaun pengantin juga berada di dalam kelompok tersebut sebelum mereka secara beramai-ramai menjulang gelas tersebut sebagai tanda selamat.
Gara-gara video berkenaan, ramai menyindir BCL dan Tiko sebagai pasangan sekufu atau sama padan apabila didakwa masih mengamalkan gaya hidup bebas walaupun sudah mencecah 40-an.
Ruangan komen dibanjiri luahan peminat BCL yang seakan-akan kecewa dengan lelaki pilihannya sehingga menyamakan keperibadian Tiko dengan Allahyarham Ashraf Sinclair.
“Masya-Allah, kenapa ini pilihan BCL, dah dapat agak pilihan kali ini kurangnya,” tulis seorang netizen.
“Kasihan arwah Ashraf… bagaimanalah agaknya perjalanan dia dekat sana?” komen seorang wanita.
“Kenapa sampai mabuk suaminya, tengok muka pun boleh tahu. Carilah jalan yang benar, dah akhir zaman,” katanya.
BCL menamatkan status balu dengan kakitangan sebuah syarikat kewangan yang juga duda anak tiga itu selepas hampir empat tahun pemergian suaminya, Ashraf. – THE VOKAL