Bella Astillah Fail Cerai Terhadap Aliff Aziz – Permohonan Secara Fast Track
Episod kisah panas rumah tangga penyanyi dan pelakon Aliff Aziz berterusan apabila hari ini isterinya Bella Astillah memfailkan permohonan cerai.
Perkara itu disahkan peguam syarie Azmi Mohd. Rais ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kata peguam itu, permohonan cerai yang dibuat anak guamnya selaku plaintif difailkan pada Isnin lalu, secara `fast track’ (ekspres) atas alasan antaranya sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Penceraian ‘fast track’ merupakan proses bagi pasangan yang bersetuju untuk bercerai di bawah peruntukan seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan tidak perlu menunggu selama 90 hari untuk menyelesaikan kes mereka.
Proses ini juga diselesaikan kurang enam jam bermula daripada masa pendaftaran kes sehingga perintah bertulis dikeluarkan.
Terdahulu dalam prosiding sebutan kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarganya yang lain.
Bagaimanapun Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, sebagai defendan tidak hadir kerana urusan kerja selain terlibat dengan penggambaran.