Belasah Kekasih Hingga Pecah Muka, Polis Soal Siasat Pelakon Baharu Lelaki Untuk Diambil Keterangan
KUALA LUMPUR – Baru-baru ini Pak Sembur (PS) ada bertemu dengan seorang kenalan lama, juga bekas wartawan hiburan TV di restoran mamak sambil berbual panjang.
Borak punya borak, tiba-tiba rakan bertanyakan sama ada PS masih lagi aktif membuat artikel gosip atau tidak.
Maka si polan tadi mulalah bercerita tentang seorang aktor sasa yang pernah tercalon dalam satu majlis anugerah.
Maka terkejutlah PS sebaik mendengar berita yang disampaikan si polan itu.
Lebih mengejutkan, pelakon lelaki terbabit memang sangat rapat dengan PS sebab bekas kekasihnya yang terdahulu merupakan teman baik PS.
Sejurus soalan itu ditanya, si polan tadi mengeluarkan telefon pintarnya lalu ditunjukkan syot layar foto wanita yang didakwa kekasih aktor berkenaan.
PS memang tak kenal pun wanita itu, tetapi jelas terpampang, wajahnya yang luka dan lebam seolah-olah baru saja dibelasah.
Syot layar itu juga menunjukkan perbualan mangsa dengan ibu kepada pelakon terbabit.
Berdasarkan teks perbualan, si ibu cuba memujuk wanita tersebut supaya memaafkan anak lelakinya atas perbuatan yang dilakukan terhadap si kekasih.
Bagaimanapun wanita itu membalas pesanan tersebut dengan foto wajahnya yang bengkak di bahagian mata.
“Polis nak jumpa dulu. Macam-macam saya pendam dan bagi peluang,” balasnya.
Sampai di situ saja perbualan wanita tersebut dengan ibu mentua tak jadinya.
Kasihan pula PS melihat muka wanita itu, mata putihnya kemerahan impak tumbukan si aktor.
Apapun, harap-harap kes ini menjadi pengajaran buat semua pihak dan tidak berlaku lagi di masa akan datang. – THE VOKAL