Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) meluluskan 218 bas tambahan setakat 29 Mac lalu melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, jumlah bas tambahan dijangka akan meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada 4 petang hari ini.
Loke berkata, keselamatan penumpang menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Apad memastikan bas tambahan yang diluluskan disaring dahulu bagi memastikan bas digunakan mematuhi kriteria permohonan termasuk melepasi kelulusan pemeriksaan keselamatan kenderaan dan memiliki GPS.
Katanya, terminal bas dijangka menghadapi lonjakan jumlah penumpang terutamanya hujung minggu ini dengan TBS dianggarkan mengendalikan 30,000 penumpang sehari, membabitkan 1,000 perjalanan bas ekspres dalam tempoh 24 jam.