Awie Cabar Diri – Bakal Persembah Lagu Level TRX Pada Konsert TRIAD
Buat kali pertama dalam sejarah, ikon dan lagenda rock Malaysia, Datuk Awie memilih untuk mecabar dirinya menerusi konsert bersejarah iaitu TRIAD di mana beliau akan tampil sebagai penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock.
Awie berkata lebih “gila’ beliau akan menyampaikan 30 lagu level TRX (nada tinggi) dari tiga band ikonik iaitu Wings, Search Kid Din dan juga Dragon Malaya yang kini dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C, dan Pae.
Konsert yang dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, yang juga merupakan milik Awie itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025 jam 8.30 malam.
Berkongsi lanjut mengenai konsert tersebut, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 56, berkata, beliau akan membawa para peminat menyelami kembali semangat rock dengan seleksi lagu-lagu nostalgia yang tidak pernah pudar dari ingatan.
“TRIAD adalah tentang penyatuan atau menyatukan bunyi, tenaga, jiwa, dan semangat rock yang sebenar. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu malam di mana sejarah akan tercipta, dan semangat Rock akan terus hidup.
“Alhamdulillah, ianya akan berlangsung nanti. Saya teruja untuk bersama-sama para penyokong dan rakan-rakan lagenda yang lain di atas pentas yang luar biasa ini,” jelasnya.
Bukan sekadar melakar sejarah dalam industri muzik, konsert itu bakal mencipta nama dalam The Malaysian Book of Records, apabila seorang penyanyi utama mengemudi tiga kumpulan rock besar di satu pentas.
“Menggabungkan tiga band ikonik dan seorang penyanyi bukan satu tugas yang mudah. Ia memerlukan doa, fokus, dedikasi, dan komitmen untuk memastikan kesihatan serta stamina berada di tahap maksima.
“Semua ini perlu diperhatikan demi memberikan persembahan terbaik untuk para penyokong seni tanah air. Dengan izin ALLAH SWT,” katanya.
Tiket untuk konsert TRIAD sudah mula dijual 7 Disember lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rpm.ubertickets.asia/ . – GayahIsTyping