Aura Diva Rossa Terserlah Jayakan Konsert Another Journey: The Beginning Dengan Aksi Energetik
Datuk Seri Rossa membuktikan dirinya terus relevan dan mempunyai peminat yang tersendiri di Malaysia sebaik selesai konsert Another Journey: The Beginning di Zepp Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini.
Rossa ternyata tidak perlu khuatir dengan lambakan bakat baharu, kerana beliau sudah memahat kukuh koordinat dirinya dalam hati peminat juga industri muzik tempatan.
Tiada siapa yang mampu menidakkan kredibiliti Rossa di pentas. Kehadiran hampir 5,000 peminat untuk kedua-dua malam persembahan membuktikan namanya masih relevan dan karyanya sentiasa didahagakan peminat.
Membuka tirai persembahan dengan penuh bertenaga menerusi lagu Malam Pertama, Rossa tidak perlu menunggu lama untuk membuai emosi penonton. Dia seterusnya menyajikan himpunan lagu popular yang memahat kukuh namanya dalam kelompok penyanyi wanita hebat Indonesia.
Seleksi lagu galau seperti Aku Bukan Untukmu dan Jangan Hilangkan Dia yang menjadi trademark penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat membuat peminat tidak betah berdiam, sebaliknya turut bersama-sama menyanyi.
Turut sinonim sebagai penyanyi runut bunyi, Rossa tidak melupakan lagu wajib iaitu Takdir Cinta dan Ayat-Ayat Cinta yang disampaikan secara medley. Bersama susunan muzik baharu, alunan bertenaga dan penuh ekspresi Rossa melarutkan penonton dalam keindahan vokalnya.
Ruang Zepp KL gamat apabila Rossa menyanyikan lagu Hati Yang Kau Sakiti versi Korea. Pujian wajar diberikan kepada Rossa dan tenaga produksi konsert Another Journey:The Beginning yang bijak memancing energi penonton.
Untuk malam pertama, Rossa tidak tampil bersendirian apabila mengundang penyanyi baharu, Betrand Putra Onsu sebagai artis pembuka menerusi lagu Takkan Berpaling Darimu dan Ku Menunggu.
Kemunculan Rizky Febian meskipun seketika, ia tetap mengesankan. Rizky membuat khalayak tidak keruan ketika mendendangkan dua lagu popularnya, Cuek dan Kesempurnaan Cinta.
Duetnya bersama Rossa menerusi lagu Bertengkar Manis mencatatkan kenangan yang cukup manis bagi 2,400 penonton yang memenuhi ruang Zepp KL pada malam pertama.
Malam kedua pula, Rossa membawa penyanyi muda yang sedang hangat mencipta nama, Mahalini.
Meskipun cuma mempersembahkan dua lagu, kemunculan penyanyi kelahiran Denpasar, Bali itu membawakan Sisa Rasa dan Sial berjaya menambahkan lagi kemeriahan konsert.
Suasana konsert bertambah hangat apabila Mahalini berduet dengan Rossa menyanyikan lagu ciptaannya untuk penyanyi tersebut iaitu Lupakan Cinta.
Konsert pada malam kedua turut diserikan dengan penyanyi tempatan yang mencipta nama menerusi program, Vokal Mania, Zareef Sein yang mempersembahkan dua lagu termasuk Ku Menunggu.
Melewati 25 tahun usia kerjaya, konsert Another Journey: The Beginning adalah pembuktian kematangan Rossa sebagai penghibur yang berani, malah bijak beradaptasi dengan perubahan untuk sentiasa kekal relevan dalam industri seni. – THE VOKAL