Aston Villa Layak – Liga Juara-Juara
Aston Villa mencipta sejarah apabila layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas pesaing empat pasukan teratas, Tottenham Hotspur tewas kepada Manchester City, awal pagi tadi.
Tottenham adalah satu-satunya pasukan yang boleh memintas Villa di tangga keempat namun mereka kini ketinggalan lima mata di belakang pasukan bimbingan Unai Emery ketika berbaki satu perlawanan.
Villa tidak pernah layak ke pertandingan utama kelab Uefa itu sejak ia dijenamakan semula daripada Piala Eropah kepada Liga Juara-Juara pada musim 1991-92.
Kali terakhir mereka beraksi dalam Piala Eropah adalah 41 tahun yang lalu, iaitu pada musim 1982-83 selepas memenangi pertandingan itu pada musim sebelumnya.
Villa menduduki tempat kedua dan keempat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 1992-93 dan 1995-96 namun pada kedua-dua musim itu hanya tempat pertama yang layak ke Liga Juara-Juara.
Barisan pemain dan kakitangan Villa sedang mengadakan malam anugerah tahunan mereka di Villa Park dan meraikan keputusan aksi di Stadium Tottenham Hotspur.
Kelab itu memuat naik foto di media sosial, menunjukkan Emery dan barisan pemain bersorak gembira.