
Anggap Ujian Teguran Allah – Safee Sali Minta Bekas Isteri Guna Saluran Betul
Bekas bintang bola sepak, Safee Sali menganggap kegagalan rumah tangganya sebagai satu ujian dan teguran daripada Allah untuk sentiasa mengingati-Nya.
“Ini adalah ujian buat saya dan setiap ujian itu adalah peringatan dan jentikkan agar kita ingatlah Dia dan bukan bergantung kepada manusia.
“Saya positif dan percaya ada hikmah di sebalik semua ini dan akan terus melangkah ke hadapan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap bekas isterinya menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah yang timbul bukannya menggunakan media sosial.
Dia berkata demikian ketika ditanya susulan pendedahan bekas isteri, Fitria Elfina Maharip mengenai kemelut rumah tangga di sebuah program podcast, baru-baru ini.

Menurut Safee, bekas isteri sepatutnya menggunakan saluran yang betul agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Pada saya, media bukan tempat untuk menyelesaikan masalah. Kita ada meja perundangan dan boleh berbincang secara baik di hadapan hakim dan saksi yang lebih baik.
“Saya tak boleh komen panjang mengenai hal itu kerana saya hanya boleh mengawal diri saya sahaja. Saya tak boleh kawal orang luar dan tak mampu nak berbuat apa-apa.
“Apapun, saya doakan agar kita diampunkan segala dosa, dibukakan pintu hidayah, mengumpul segala pahala dan fokus di bulan Ramadan. Kini, saya tenang,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Tayangan Program Raya Astro.
Pada masa sama, bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) yang kini penyampai di stesen radio Era berkata, dia sentiasa terbuka untuk berbincang mengenai hal anak-anak lebih-lebih lagi untuk sambutan Hari Raya tidak lama lagi.
“Proses sulh boleh diadakan pada bila-bila masa. Saya tak lari dan ada sahaja di Lembah Klang.
“Saya mengutamakan keselamatan anak-anak dan saya mahu pendidikan mereka terjamin dan sebagai bapa kandung dan hakiki, saya bertanggungjawab melindungi anak-anak saya,” katanya.
Safee bernikah dengan Fitria Elfina, warga Indonesia pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Dia juga pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 sebelum berpisah pada 2 April 2012 dengan dua orang anak. – THE VOKAL