Anak Yatim Teruja Lihat Jentera Bomba Udara – Turut Dirai Dalam Majlis Buka Puasa
Kira-kira 20 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Dar Asnaf Al Fateeh Ulu Yam, Batang Kali teruja melihat Jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ketika melawat Pangkalan Udara Wilayah Tengah.
Ia sebahagian dari atur cara sempena majlis berbuka puasa anjuran Summit Attack Resources (SAR) dan Kelab Kembara Kosmopolitan (Kembara) itu ditaja oleh Dialisis Mukmin dan Baqara Fine Meat yang diadakan di The Base, SS 19, Subang Jaya.
Majlis itu turut mendapat kerjasama daripada JBPM dan BG Capital Holdings.
Pengasas rumah anak yatim tersebut, Mohd Fazzil Che Lah berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyumbang yang sudi meraikan 20 anak yatim dari rumah tersebut.
Kesemua anak yatim dibawa melawat ke Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM di Subang sebelum sama-sama menyertai majlis bacaan Yasin dan Tahlil sebelum berbuka puasa.
Sementara itu, Pengarah SAR, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, program tahunan yang diadakan itu adalah bertujuan menyantuni anak yatim dan berkongsi rezeki bersama mereka.
Pihaknya turut berharap program seumpama itu dapat menyuburkan lagi perasaan bersyukur dan berkongsi terutama dengan golongan kurang bernasib baik ini.