Amaris Sedia Cairkan Harta – Untuk Tujuan Infak
Pelakon Putra Amaris bersedia mencairkan sebahagian dari harta peninggalan arwah ibunya bagi tujuan sedekah terutama menerusi program ‘Share Rezeki’ yang dijalankan sejak 2020.
Bagi Amaris, dia percaya setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT itu bukan hanya usaha diri sendiri, sebaliknya ia juga berkat orang ramai yang banyak memberi sokongan dalam perniagaan serta kerjaya seni.
Amaris kehilangan ibu tercinta iaitu Allahyarham Hajah Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Amaris bersama pasukan pengurusan, Rarekynd Malaysia sudah mula mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk rumah-rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.
Malah dia juga turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama untuk sama-sama berkongsi menghulurkan bantuan bagi menggerakkan misi ini.
Bukan itu sahaja, dia turut mengajak rakan-rakan artis yang mahu melakukan amal kebajikan.
Program yang digerakkan oleh Rarekynd Malaysia ini, turut mendapat kerjasama pihak lain termasuk adalah Minyak Bidara Paklong Man (penaja utama), Adabi, Hardamawt dan Westplate Factory.
Tambah Amaris, kejayaan sebelum ini juga telah mendorong dia untuk menjadikan program sebegini sebagai acara tahunan atau mungkin boleh dilaksanakan sepanjang tahun. – THE VOKAL