Album Made In UK – Amir Masdi Muncul Dengan AM:PM
Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi melancarkan album kedua yang diberi nama ‘AM:PM’, selepas kejayaan album solo pertama berjudul ‘Amir Masdi’ tahun lalu habis terjual dengan tiga kali cetakan.
Dengan judul unik AM:PM, album ini merangkumi pelbagai emosi dan pengalaman hidup Amir Masdi.
Menerusi album ‘AM:PM’ ini juga, Amir bukan sahaja mempersembahkan vokal mantapnya tetapi juga memperlihatkan kemampuannya sebagai pencipta lagu dan penerbit bersama penerbit terkemuka, Edry Abdul Halim.
Amir, 28, atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi berkata album ini sebuah naskah yang sangat istimewa kerana diberi peluang untuk menulis lagu daripada ‘zero’ sehingga ia diterbitkan.
Menurutnya, kesemua lagu dalam album ini mula ditulis bersama komposer ternama, Edry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penerbit pada November tahun lalu yang mana fasa satu membabitkan konsep, hala tuju dan apakah jenis lagu yang ingin ditulis.
“Pada Februari tahun ini, saya dan pasukan menggunakan duit yang kami kumpul hasil daripada persembahan yang saya buat selama ini untuk bergerak ke fasa seterusnya. Kemudian, pada bulan Mac kami terbang ke Manchester, United Kingdom untuk merealisasikan dan mengejar impian untuk terbitkan album kedua yang dirakam di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester.
“Sepanjang 18 hari berada di sana, kami tulis kesemua 12 lagu selain merakamkan vokal dan video muzik. Jadi, perjalanan untuk menghasilkan album ini sangat istimewa buat saya selain memberikan inspirasi buat saya untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Berkongsi mengenai pemilihan nama album, Amir berkata ia menggabungkan namanya Amir Masdi (AM) dan Projek Manchester (PM).Album ini memampilkan lagu-lagu “Luar Kotak”, “Calar”, “Take Me Home”, “Langit Biru”, “Bakal Kekasih” dan “Nur Cinta”.
Menariknya, promosi album ini sudah dimulakan lebih awal apabila poster album ini dipaparkan di papan iklan gergasi atau Billboard di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Kelana Jaya dan Bukit Bintang sebulan sebelum album dipasarkan.
Selain dalam bentuk fizikal, album ini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.Album yang diterbitkan oleh AR United Music, syarikat rakaman milik Amir sendiri dan diedarkan oleh Nova Music. – THE VOKAL