Aisyah Hijanah Mohon Netizen Jangan Burukkan Alif Teega – “Benda Dah Lepas, Dia Masih Suami Saya”
Pempengaruh, Aisyah Hijanah yang tular sejak semalam selepas mengumumkan suaminya, Alif Teega sudah berkahwin dua tampil memberikan respons dalam satu siaran langsung di akaun TikTok miliknya semalam.
Walaupun pada mulanya, tujuan Aisyah membuat siaran langsung itu untuk mempromosikan produknya namun dia akhirnya membuka mulut selepas diasak pelbagai soalan oleh para pengikut di ruangan komen.
Yang menarik perhatian, sebelum Aisyah memberikan respon terhadap perkara yang berlaku pada rumah tangganya, dia sempat berkata kepada Alif bahawa dia takkan memburukkan suaminya itu.
“Tidak, Aisyah takkan burukkan abang. Jangan risau,” katanya sambil memandang ke Alif Teega yang berada di hadapannya.
Kata Aisyah yang sedang sarat mengandung memasuki enam bulan, sebagai isteri dia hanya perlu hadap dan berdamai dengan takdir kerana perkahwinan tersebut sudah pun dilangsungkan.
“Benda yang lepas itu, adalah lepas. Benda yang terjadi itu, kita nak perbetulkan pun tak boleh sebab dah jadi, dah kahwin dah. Jadi nak buat apa lagi?
Mengulas lanjut, Aisyah juga sempat berpesan kepada orang ramai untuk tidak memburukkan atau memfitnah suaminya seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Dalam pada itu, Aisyah menganggap, waktu yang dipilih oleh Alif untuk berkahwin walaupun ketika dirinya sarat mengandung adalah sebahagian daripada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.
“Tetapi sekiranya ketetapan Allah pada waktu itu dan kita kena terimalah. Yang dah lepas, kita lepaskan dulu. Kita cuba bertenang dan ‘life must go on’ (hidup perlu diteruskan),” katanya.
Terdahulu, Aisyah sebelum ini mencuri perhatian netizen apabila mendedahkan rumah tangganya sedang diganggu pihak ketiga yang juga merupakan pekerjanya sendiri.
Susulan berita pernikahan kedua itu juga, tular sekeping gambar memaparkan individu dikatakan mirip Alif melangsungkan pernikahan di Songkhla, Thailand.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan daripada pasangan terbabit mengenai gambar berkenaan.
Aisyah Hijanah yang mempunyai pengikut seramai 1.2 juta di Instagram dan hampir 1 juta di TikTok terkenal dengan kandungan berunsur informasi agama dan motivasi. – THE VOKAL