Agong Dan Permaisuri Mencemar Duli – Baca Berita Buletin Utama Malam Ini
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli membaca berita dan ia akan ditayangkan dalam Buletin Utama jam 8 malam ini.
Pasangan diraja itu berkenan melawat Sri Pentas, hari ini dan ketika dibawa ke Studio A, Al-Sultan Abdullah dan Permaisuri Agong turut berkenan mencemar duli membaca berita dan ia akan ditayangkan dalam Buletin Utama jam 8 malam ini, menerusi slot khas Buletin Diraja.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan dibawa melihat cenderamata yang memaparkan keratan akhbar mengenai pasangan diraja itu yang diberikan oleh Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM).
Antara yang hadir dalam lawatan diraja itu ialah Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB, Rosli Sabarudin.
Baginda berdua turut berkenan melihat tayangan trailer episod khas rancangan Majalah 3 yang akan memaparkan kepemimpinan dan sumbangan besar baginda berdua kepada rakyat Malaysia sepanjang tempoh bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan.
Episod penuh bertajuk Lima Tahun Pemerintahan Al-Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16 selama satu jam akan disiarkan menerusi TV3 pada jam 9 malam 29 Januari ini. – THE VOKAL