
Ada Pihak Tertentu Minta Saya Padam – Susulan Che Ta Dedah Artis Ambil Bahan Terlarang
Pelakon dan usahawan selebriti Rozita Che Wan mendedahkan ada individu wakil pihak pengurusan tertentu mendesaknya menurunkan video berkaitan pendedahan hangatnya baru-baru ini.
Mesra disapa Che Ta, wanita itu mencetuskan spekulasi selepas pendedahannya mendakwa ada artis yang mengambil bahan terlarang malah mempengeruhi artis baru lain melakukan perkara sama.

Katanya, dia akur memenuhi gesaan pihak terbabit dengan memadamkan hantaran dibuat disebabkan enggan memanjangkan isu.
“Selepas berkongsi video amaran meminta pelakon baharu berwaspada dengan pujukan seorang aktres mencuba bahan terlarang, saya dihubungi pihak tertentu.
“Rupa-rupanya ada yang terasa dan minta wakilnya menggesa saya memadam hantaran berkenaan, sedangkan saya tidak menyebut nama sesiapa.

“Apa pun saya turuti saja permintaan (padam), bukan takut sebaliknya sebab saya didesak,” katanya selepas sidang media Lip Lap Ramadan Hotel Tenera Bangi, hari ini.
Pelakon dan usahawan itu berkata, tujuan asal membangkitkan hal yang tular hanya mahu memperingatkan bakat muda agar jangan terpedaya dengan pujukan individu dimaksudkan.
Dia juga enggan masuk campur urusan peribadi selebriti senior terbabit, tetapi terpaksa bersuara selepas kasihan dengan mangsa.
“Saya didatangi pelakon muda itu buat kali kedua dan tergerak menyuarakan masalah yang dicetuskan individu sama agar semua bakat baharu berjaga-jaga.

“Harap jangan terjerumus dengan perkara negatif, itu saja. Soal dia nak menggunakan bahan terlarang, itu pilihannya, jangan pengaruhi orang lain,” katanya.
Beberapa hari lalu pelakon Kiah Pekasam itu menyelar tindakan seorang individu popular yang dilihat cuba menjerat bakat baharu agar mencuba bahan terlarang bersamanya. – THE VOKAL