Abang Blazer Merah Kena Denda – Cederakan Penghantar Makanan
Pasti ramai masih ingat klip seorang penghantar makanan yang dikasari seorang lelaki ketika dia menunggu pelanggan, tular sekitar tahun lalu.
Lelaki dikenali sebagai ‘abang blazer merah’ yang mencederakan penghantar makanan itu hari ini didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Muhammad Nazrul Hairie Harmi, 28 tahun, selaku orang kena saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama empat bulan dan OKS membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Nazrul didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Samier Ibruhem, 24, menggunakan kaki dan tangan.
Kesalahan itu dilakukan di Lobi Menara IQ, Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange di sini pukul 3.59 petang pada 2 November tahun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. – THE VOKAL