PMNI Lahir Pendakwah Wibawa – Tak Galak Jadi Selebriti
Pondok Model Nusantara Al Isyraq (PMNI) komited dalam melahirkan pendakwah yang bertanggungjawab serta berilmu seimbang dunia dan akhirat.
Pengasasnya, Syeikh Rohimuddin Nawawi Al Banteni mengaku tidak menggalakkan anak didiknya untuk bergelar pendakwah selebriti.
Menurut Syeikh, PMNI yang terletak di Kuala Selangor itu bertanggungjawab melahirkan pendakwah yang mempunyai fokus sepenuhnya kepada agama, bangsa dan negara, bukannya mengejar populariti.
“Pada pendapat saya, mahu bergelar pendakwah atau pendakwah selebriti, bergantunglah kepada niat masing-masing. Di PMNI, kami tidak akan mendidik para pelajar madrasah ini ke arah menjadi pendakwah selebriti. Galakan atau seruan ke arah itu, tidak pernah ada dalam perancangan kami.
“Biarlah pendakwah yang dilahirkan dari PMNI ini memberi fokus untuk berkidmat kepada agama, umat, bangsa dan negara, di mana peranan itu lebih berguna dan bermanfaat,” katanya.
Syeikh berkata demikian apabila diajukan media soalan tentang situasi segelintir pendakwah selebriti yang terpalit dengan kisah kontroversi.
Bagi Syeikh menjadi pendakwah selebriti adalah perkara yang patut dihindari oleh para pelajar PMNI kerana ia boleh mengundang kepada tanggapan negatif kepada agamawan apabila terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang menjadi bualan rakyat dan netizen.
“Bagi saya, jadi pendakwah yang dalam masa yang sama menjadi selebriti popular itu adalah perkara pertama yang patut dihindari bagi para pelajar madrasah ini.”Populariti itu sesuatu yang kurang berfaedah bagi kami dalam konteks pengabdian kepada agama, negara, malah lebih daripada itu.
“Segelintir (bukan semua) pendakwah selebriti itu hanya pandai bercakap tetapi tak ada ilmu, tak ada akhlak,” ujarnya.
Sementara itu, demi keselesaan dan keberkesanan dalam pendidikan, PMNI sedang dalam usaha untuk membina bangunan baharu yang dianggarkan bernilai RM 15 juta.
Bangunan baharu PMNI ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang mengambil kira kemodenan dan kesesuaian seperti kelas, kompleks surau, asrama, rumah tenaga pengajar, gelanggang futsal, dewan makan, kedai, teknologi baharu dan kelengkapan yang berkaitan.
PMNI sudah laksanakannya dari 2020-2024 sebagai projek perintis, dan kumpulan tersebut mendapat pujian yang tinggi dari pelbagai ulama’ dengan pelbagai latar belakang serta mereka sekarang sudah berada di Mesir menyambung pengajian peringkat tinggj.
Hala tuju Pendidikan PMNI terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Pra-PMNI, Pengajian PMNI dan Kuliah Al Isyraq yang mengambil tempoh pengajian selama 8 tahun ini sedang dilalui oleh seramai 23 orang pelajar.
Mereka kini diasah dengan Asas Bahasa Arab, pemantapan hafazan Al Quran, hadis, matan asas dan pembentukan adab dan sudah ada 5 orang pelajar generasi pertama sedang menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Kaherah.
“Untuk makluman, Program Pendidikan Berkebajikan PMNI telah dilancarkan pada bulan Mei 2023 di mana pihak kami memberi peluang kepada masyarakat awam untuk menaja pengajian pelajar-pelajar yang kesemuanya adalah terpilih untuk mengikuti Manhaj Pendidikan Al Isyraq sehingga tamat,” katanya.
Di kesempatan ini, PMNI membuka ruang seluasnya kepada sesiapa sahaja untuk berinfaq kepada para pelajar PMNI menerusi akaun bank MAYBANK : 5541 1052 1332 (Pertubuhan Kebajikan Al Isyraq Nusantara).Maklumat lanjut berkaitan PMNI boleh didapati di laman media sosial seperti FB : facebook.com/pondokmodel, IG : Al Isyraq TV dan Tiktok : @alisyraqtv. – THE VOKAL