Benar Aku Cinta – Terjemah Hati Ronnie Hussein
Cermat dirinya menyusun kata mengawal emosi yang masih berat selepas kehilangan syurganya pada bulan lalu saat bertemu rakan media.
Meski Ronnie Hussein dalam adrenalin gembira, dengan perkembangan dirinya selaku seorang daripada peserta Gegar Vaganza 11 dan pelancaran single terbarunya, masih ada sugul pada riak wajahnya.
Penyanyi yang mempunyai vokal memukau itu mengakui lagu terbaharunya, Benar Aku Cinta hadir tepat dengan suratan hidupnya di kala ini.
“Bila saya dengar balik kena betul lagu ini dengan kisah arwah ibu saya, mengenai kehilangan orang yang kita sayang, lagu dedikasi buat arwah tanpa dirancang,” katanya berkongsi baru-baru ini.
Lagu berkenaan lahir setelah lima tahun Ronnie menyepi dari dunia rakaman, menampilkan kedewasaan emosi dan kematangan dirinya sebagai seorang penyanyi yang sudah lama bertapak dalam industri muzik Malaysia.
Menceritakan bagaimana dirinya terkesan hanya dari demo lagu itu.
“Sebaik mendengar demo, saya seperti sudah jatuh cinta dengan melodi dan emosi dalam lagu ini, ” katanya.
Ronnie mengakui bahawa cabaran untuk kembali ke studio selepas bertahun-tahun tidak membuat rakaman bukanlah satu perkara mudah.
Kerjasama bersama Rudy Nastia dan Afif Tirmizie memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti lagu tetap terjaga.
Malah, dia berterima kasih kepada Nana Mohamad Rom, Pengarah Urusan Indigital Music, yang memberikan pandangan bernas dengan mencadangkan perubahan pada rentak lagu bagi menonjolkan vokalnya tanpa perlu mencapai not yang terlalu tinggi.
“Sebagai seorang penyanyi, ada kalanya kita terlalu teruja untuk menunjukkan vokal, tetapi Nana memberi cadangan untuk merendahkan sedikit lagu agar ia lebih menyentuh jiwa. Ini adalah perubahan kecil tetapi memberi impak besar pada keseluruhan rasa lagu,” katanya.
Tidak hanya sekadar menjadi single yang dinanti-nantikan, Benar Aku Cinta juga akan mewarnai drama TV3 bertajuk “Lara Kasih”, yang dijadualkan untuk tayangan bermula 11 Disember ini.
Untuk mereka yang merindui suara khas Ronnie Hussein dan ketulusan dalam lagu-lagunya, “Benar Aku Cinta” adalah bukti bahawa cinta dan keikhlasan dalam muzik tidak pernah pudar. – THE VOKAL