Precious Of Malaysia Iktiraf Pereka Muda – Cabar Empat IPT Bersaing Dengan Pereka Sebenar
Bagi menyokong dan terus memperjuangkan budaya Malaysia melalui fesyen, pereka fesyen yang juga penganjur acara (FM Group) Jonathan dan Farel Mikhail mengambil inisiatif menganjurkan International Cultural Fashion Week (ICFW) sempena festival Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 2 dan 3 Ogos lalu.
Menurut Farel, pertandingan fesyen itu mendapat sambutan luar biasa yang turut membabitkan penyertaan empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia iaitu Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM Shah Alam), Taylor’s University, ESMOD Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Selayang.
“Sebenarnya, kami menerima permohonan dari banyak IPT untuk menyertai pertandingan ICFW.
“Namun, untuk anjuran kali ketiga ini, kami hanya memilih empat IPT sahaja kerana mahu lebih fokus dan pentingkan kualiti.
“Insya Allah, ICFW tahun depan kami akan libatkan lebih banyak IPT untuk menghantar peserta.
“Apa-apa pun kami lihat juga kesungguhan dan rekaan yang bakal ditampilkan. Ini kerana, kami mahukan sentuhan baharu, kreatif dan idea luar kotak terhadap busana tradisional.
“Dalam masa yang sama, ICFW adalah platform buat mereka untuk dikenali dan terus ‘terbang tinggi’ dalam bidang rekaan fesyen. Melalui pertandingan seperti inilah bakat mereka boleh digilap dan bersaing secara sihat.
“Ada juga yang bertanya, buat apa penat lelah memberi ruang kepada para pelajar IPT. Jawapannya adalah rasa tanggungjawab kami sebagai anak muda untuk terus memartabatkan budaya Malaysia,” katanya ketika ditemui di acara ICFW (sesi pelajar IPT) di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Manakala Jonathan pula berharap ICFW ini menjadi pemangkin kepada anak-anak muda di IPT untuk menyerlahkan bakat mereka.
“Saya rasa berbangga apabila ramai anak muda yang cenderung memperjuangkan busana tradisional yang merupakan sebahagian daripada budaya kita. Inilah masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.
“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen. Jadi ICFW inilah peluang buat mereka,” katanya.
Menurutnya lagi, para pelajar IPT ini turut berentap dengan pereka fesyen muda yang sudah mempunyai jenama sendiri.
Secera keseluruhannya, juara ICFW – Precious Of Malaysia disandang oleh Afiq Syazani, diikuti naib juara, Rashid Moshi, UiTM (tempat ketiga) dan Zuramir (tempat keempat).
Apa yang istimewa, Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.Selain ICFW,
Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.
Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut.
Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara. – THE VOKAL