Maaf Sangat! – Permohonan Semak Perintah Reman Pasangan Pempengaruh Ditolak
Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh Islamik kekal direman empat hari selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan yang difailkan Mohd Hazalif Mohd Sani, 30, atau Alif Teega dan isterinya Aisyah Hijanah Azhari, 26, selepas mendapati Majistret Putrajaya mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dalam membenarkan permohonan reman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya telah memeriksa rekod prosiding kes ini dan selepas menimbang hujah kedua-dua pihak, saya dapati Majistret Putrajaya mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dalam membenarkan permohonan reman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Isu tiada nexus (kaitan) antara pemohon dengan kesalahan yang disiasat tidak mempunyai merit apa-apa kesalahan yang dilakukan pemohon-pemohon jika ada hanya boleh ditentukan selepas siasatan selesai.
“SPRM seharusnya dibenarkan melengkapkan siasatan mereka terhadap pemohon, oleh itu perintah reman oleh Majistret Putrajaya ke atas pemohon-pemohon adalah sah, permohonan semakan ditolak,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Semalam, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman Mohd Hazalif dan Aisyah Hijanah untuk disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.Irza Zulaikha mengeluarkan perintah terhadap pasangan yang mencipta kontroversi berhubung masalah rumah tangga itu, selepas membenarkan permohonan daripada pihak SPRM.SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pempengaruh media sosial itu disiasat bagi kes penyelewengan dana derma awam, disyaki sudah melakukan perbuatan itu sejak 2020.
Sumber berkata, siasatan mendapati kutipan derma diseleweng apabila tidak disalurkan dengan cara yang betul.
Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal.Turut direman, dua lagi lelaki iaitu pengarah dan pemegang saham terbesar platform kutipan derma berkait kes yang sama. – THE VOKAL