Lebih 1,000 Bertanjak Sempena Precious Of Malaysia 2024 – Turut Cari Pereka Fesyen Muda
Lebih 1,000 hadirin lelaki dan wanita bakal memakai tanjak sempena Hari Tanjak Malaysia pada program Precious Of Malaysia anjuran FM Group pada Ogos depan dalam usaha memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Program anjuran gandingan pereka yang sinonim dalam memperjuangkan fesyen budaya Malaysia iaitu Farel Mikhail dan Jonathan itu akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara Heights.
Jonathan berkata, Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos.
“Kami mendapat sokongan sangat baik daripada semua pihak termasuk pasukan silat yang akan sama-sama memeriahkan Hari Tanjak Malaysia nanti,” katanya.
Lebih menarik tambah Farel, pameran tanjak juga akan diadakan dan pelbagai jenis tanjak boleh dilihat termasuk yang digayakan oleh kaum wanita.
“Sebenarnya tanjak wanita juga antara fesyen yang digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu dan antara perhiasan menarik kaum hawa pada bahagian kepala dikenali sebagai desta,” katanya.
Sempena Precious of Malaysia 2024 FM Group turut membuka peluang kepada pereka muda untuk menonjolkan rekaan mereka dalam International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos depan.ICFW merupakan salah satu program bawah acara Precious Of Malaysia yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.
“Kami sedar dan tahu, ramai sebenarnya pereka muda di luar sana yang berbakat besar dan mempunyai idea luar di luar kotak serta kreatif.
“Jadi, inilah peluang untuk mereka menonjolkan potensi yang ada demi mengejar cita-cita sebagai pereka fesyen terkenal suatu hari nanti,” kata Jonathan.
Farel menambah, berkarya tidak salah namun harus tahu batasnya.
“Kreativiti dan relevan mengikut trend itu bagus. Cuma nasihat saya janganlah sampai ‘melacurkan’ budaya kita menerusi fesyen yang anda reka.
“Maksud melacurkan budaya itu adalah mereka cipta busana yang boleh mendatangkan persepsi negatif. Misalnya mereka baju Melayu yang jarang kainnya, guna tanjak dijadikan baju seksi untuk menutup bahagian dada dan sebagainya.
“Mungkin nampak kreatif bagi sesetengah orang tapi ia seolah-olah ‘mencemarkan’ identiti budaya Melayu. Apabila rekaan sebegini dibawa ke pentas peragaan ia dilihat seolah-olah mempersendakan budaya itu sendiri. Orang yang melihat pun sudah tidak kenal asal usul busana yang diperagakan,” katanya.
ICFW platform untuk pereka muda, libatkan negara serantau Pertandingan rekaan fesyen ICFW (International Cultural Fashion Week) yang merupakan salah satu program bawah Precious Of Malaysia ini adalah satu platform buat pereka muda.
FM Group menganjurkan pertandingan ini sebagai platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama. Menurutnya lagi, tahun 2024 menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini apabila kali ini turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.
Pertandingan ini melibatkan melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
Antara penaja yang turut serta dalam Precious Of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi. – THE VOKAL