Dua Beradik Kritikal Makan Keropok Mengandungi Racun Tikus
KULIM: Dua beradik lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal selepas makan keropok dipercayai mengandungi racun tikus yang mereka ambil tergantung pada pagar kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, semalam.
Difahamkan, kebun itu terletak berhampiran rumah kedua-dua beradik terbabit di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, berkata kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 25 tahun pada jam 11 pagi yang melihat anaknya muntah di rumah sebelum membawa kedua-dua mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan kemudian ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar kebun itu yang mengandungi racun bagi tujuan memerangkap monyet.
Katanya, kebun itu dipercayai milik penduduk berhampiran rumah dua beradik itu.
Mohd Azizul berkata, pegawai perubatan HK yang merawat mangsa dan mendapati kedua-dua beradik itu berada dalam keadaan kritikal kemudian merujuk mereka ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Pihak kini sedang mengesan pemilik kebun yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan kes itu,” katanya.
Sumber: Berita Harian