Terima Surat Dari JAIS Semalam, Sedia Beri Kerjasama – Ustaz Don
PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Don akur dan sedia memberi kerjasama berhubung siasatan berkaitan doktrin palsu oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Don yang dihubungi menerusi pengurusnya dikenali sebagai Anna berkata, pihaknya sudah menerima surat berbentuk e-mel daripada jabatan tersebut semalam.
“Buat masa sekarang, pihak Ustaz Don diminta untuk membalas surat yang dikemukakan JAIS dalam bentuk bertulis dan itu akan dilakukan dengan kadar segera,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Kata Anna lagi, pihak Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid tidak akan sesekali melawan andai dirinya diarahkan untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan, Ustaz Don, 40, disiasat JAIS di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Seksyen 7 merujuk kepada mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam.
Sumber: Kosmo Online