Hormat Dan Kenang Jasa Allahyarham Huzz – Dwan Hamid Harap Mohon Maaf
Pelakon Dwan Hamid berharap tiada lagi salah faham terhadap dirinya yang didakwa kononnya sengaja mengambil kesempatan dan mempergunakan bekas wartawan hiburan popular Allahyarham Huzz semasa hayatnya.Menurut Dwan, niatnya ikhlas menjaga Huzz yang sedang sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum Allahyarham dibawa pulang ke kediaman keluarga di Pulau Pinang.
Walaupun dituduh sebegitu, Dwan atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid,32, mengaku tidak kecewa kerana niatnya mahu menjaga Huzz walaupun hanya untuk beberapa hari ikhlas kerana Allah.
“Sejak saya mula berjinak-jinak menjadi pelakon tahun 2010, saya bukan siapa-siapa ketika itu, Huzz ialah wartawan pertama yang banyak memberi tunjuk ajar, nasihat dan buat cerita pasal saya dalam Majalah URTV.
“Di kala tiada siapa yang mahu memberi ruang publisiti kepada saya, hati Huzz sangat mulia mahu membantu anak-anak muda seperti saya yang berhijrah dari Taiping, Perak ke Kuala Lumpur demi mencuba nasib dalam bidang seni.
“Jasanya tak dapat saya balas, hanya Allah yang mampu membalasnya. Ikhlas daripada hati, saya memohon maaf kepada keluarga Huzz jika sepanjang saya menjaga arwah telah menyinggung perasaan kalian semua.
“Saya tiada niat untuk membelakangkan peranan keluarga, jauh sekali menggantikan tempat mereka. Saya hanya menggunakan peluang ketika itu untuk menjaga insan yang banyak membantu dan sangat saya hormati.
“Saya harap tiada lagi salah faham terhadap saya. Saya juga bercadang mahu bertemu sendiri dengan keluarga arwah untuk meminta maaf atas salah faham yang berlaku,” katanya.
Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin meninggal dunia akibat kanser usus pada 8 Jun lalu di kediaman keluarganya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Sebelum ini, apabila Dwan memuatnaik gambarnya menjaga Huzz di HKL dalam media sosial, terdapat segelintir netizen yang mempersoalkannya.
“Tujuan gambar tersebut diletakkan di akaun TikTok adalah untuk ajak orang ramai doakan Huzz, di samping memberitahu rakan-rakan terdekat untuk ziarah Huzz.
“Niat saya baik. Tak tahu pula ada yang salah faham,” katanya.
Dalam masa yang sama, Dwan juga menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya cuba ‘mempromosi’ diri ketika menjaga Huzz kerana ingin mendapat perhatian rakan-rakan artis, pengarah dan penerbit yang datang ziarah.
“Saya masih ingat lagi. Huzz pernah nasihatkan saya agar tidak berputus asa mengejar kejayaan kerana katanya, usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Selain sentiasa memohon kepada Allah kerana rezeki daripadaNya bukan manusia.
“Walaupun sekarang saya tidaklah popular seperti pelakon-pelakon lain, namun saya bersyukur dapat menjalankan bisnes sendiri dan masih aktif sebagai pemain ular,” ujarnya.
Sebelum ini, Dwan pernah muncul dalam drama Maaf Aku Tak Sempurna, Tanah Kubur dan filem Dollah Superstar. – THE VOKAL