Restoran Buka Tapi ‘Tutup’ – Rakan Media Alami Kejadian Pelik Nasi Ayam Shiha Zikir
Bukan semuanya manis, hakikatnya Shiha Zikir akui berdepan dengan cabaran bergelar usahawan nasi ayam sejak setahun lalu.
Enggan berkongsi pada mulanya, Shiha mengakui restorannya berdepan dengan cabaran termasuk perbuatan sihir dan kejadian pecah masuk.
Menurut Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd. Zikir, 37, dia menyedari restoran miliknya disihir selepas beberapa orang kenalan menghubunginya dan memberitahu kedainya tutup.
“Ada kenalan dan pelanggan yang datang ke restoran bukan sekali tetapi, dua tiga kali tetapi lihat restoran tutup.
“Saya juga selalu dapat panggilan yang bertanyakan waktu restoran dibuka. Walhal restoran saya bukan setiap hari daripada pukul 11 pagi sehingga 10 malam.
“Saya ada keluarga yang turut membuka kedai makan untuk saya kata tidak percaya tidak boleh juga kerana benda berlaku dan bukan seorang dua yang saksi nampak kedai ditutup,” katanya.
Malah ketika berkongsi perkara itu, seorang rakan media mengakui dia turut berdepan dengan situasi sama ketika mahu menjamu selera di restoran milik Shiha itu.
“Saya sendiri pernah pergi untuk makan tapi kedai Shiha tidak beroperasi,” kongsi rakan wartawan Melodi dikenali sebagai Ferra.
Shiha yang mendengar mengakui ia bukan sesuatu yang pelik malah pernah dimaklumkan oleh beberapa rakan lain sedangkan restorannya itu sentiasa beroperasi.
Selain itu, restorannya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu juga pernah dipecah masuk.
Meskipun begitu, Shiha masih positif menyifatkan dugaan yang dialaminya sebagai adat dalam dunia perniagaan.
“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah berdoa agar Allah permudahkan segala urusan. Saya belum berjumpa ustaz lagi, cuma berhubung di telefon untuk meminta doa yang boleh saya amalkan,” kata Shiha.
Sebagai orang baharu dalam dunia perniagaan makanan, Shiha mengakui kecewa apabila restorannya diganggu secara mistik.
“Saya sedihlah apabila perkara ini berlaku sepatutnya bersainglah secara sihat,” luah Shiha.
Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan, perkara tersebut tidak menghalang Shiha untuk membuka cawangan kedua Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
“Saya memilih Shah Alam kerana setiap kali buat live di TikTok ramai yang mencadangkan agar saya buka di sini.
“Alhamdulillah, walaupun perniagaan saya mungkin tidak selaju orang lain saya yakin mampu pergi jauh kerana orang Malaysia memang sukakan nasi ayam,” tutur Shiha yang ditemui pada majlis perasmian restoran keduanya itu baru-baru ini.
Menyentuh tentang perjalanan kariernya, selain menyanyi Shiha kini mempelajari selok-belok perniagaan.
“Saya bersyukur dengan rezeki yang saya ada, selain menyanyi saya kini sibuk dengan perniagaan makanan dan juga pengurusan acara,” katanya. – THE VOKAL