Mamadom Bakal Pelengkap Papadom – Afdlin Akui Karya Ada Nilai Sentiments
Bagi penggemar filem ikonik Papadom, kini mereka berpeluang mendapatkan karya itu dalam bentuk novel menerusi cetakan eksklusif 500 naskhah pertama.
Pengarah dan penerbit filem, Datuk Afdlin Shauki melancarkan novel yang diadaptasi daripada filem arahannya itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, semalam.
Afdlin berkata, Papadom menjadi pilihan pertama kerana kisah itu mempunyai nilai sentimental dan amat peribadi.
“Saadom melambangkan kebanyakan bapa di dunia ini yang mempunyai dilema yang sama. Bapa yang menyayangi keluarganya dan mahu memberikan kehidupan terbaik kepada keluarganya, jadi dia bekerja keras untuk keluarganya sehingga tak dapat meluangkan masa bersama keluarga yang dicintai itu.
“Persoalan itulah yang mencetus idea untuk saya hasilkan naskhah PAPADOM. Sebagai ibu bapa, kita tak dilahirkan dengan buku manual bagaimana nak menjadi ibu bapa yang baik, akan tetapi, kita kena percaya yang Allah SWT akan sentiasa ada bersama dengan kita dan memberi pengajaran yang terbaik bagi diri kita,” katanya.
Menurutnya, novel setebal 160 muka surat itu diharap dapat memberi manfaat kepada semua ibu bapa.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, berkata trilogi filem itu akan menemui peminat dengan judul Mamadom yang dijadualkan memulakan penggambaran tahun depan.
“Mamadom akan memperlihatkan transisi anak kepada Saadom pula sudah menjadi ibu dan mempunyai anak serta berdepan dengan kisah kehidupannya pula.
“Saya juga berharap agar dapat mengekalkan pelakon yang sama namun semua akan dimuktamadkan kemudian,” katanya. – THE VOKAL