Melly Goeslaw Pilih Ezuwan Ismail – Kali Pertama Sarung Baju Pereka Malaysia
Melly Goeslaw Pilih Ezuwan Ismail – Kali Pertama Sarung Baju Pereka Malaysia
Pereka fesyen popular, Ezuwan Ismail teruja apabila berpeluang mereka busana buat penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw bersempena dengan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung malam tadi di Axiata Arena Bukit Jalil.
Ezuwan, 42, berkata, kesudian penyanyi lagu Gantung itu untuk menyarung persalinan ilham pereka tempatan buat julung kali sebagai satu penghargaan besar kepada dirinya.
“Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini.
“Iyalah bukan senang nak dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini,” katanya.
Berkongsi mengenai rekaan tersebut, Ezuwan menjelaskan baju yang direka adalah yang termahal pernah dihasilkan untuk mana-mana selebriti setakat ini.
“Sesuai dengan karektor dan personaliti Melly, Saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.
“Memang mahu cipta satu kelainan yang eskklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah ‘signature’ Ezuwan Ismail Kuala Lumpur.
“Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi ‘fitting’ dilakukan. Satu penghormatan juga bila Melly menyarung ia pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya telah dipersembahkan pada segmen itu.
“Malah sudah semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail Kuala Lumpur hasilkan sebab sebelum ini saya sudah mereka persalinan ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain.
“Syukur atas pelbagai maklum balas positif yang diterima. Saya anggap ini rezeki dan sudah semestinya pencapaian baik ini menjadi pembakar semangat untuk Ezuwan Ismail Kuala Lumpur terus mencipta sukses selepas ini, insya-Allah,” katanya lagi. – THE VOKAL