
RM20,000 Hangus – Simpanan Balanja Kahwin Anak Musnah Dalam Kebakaran
Sejumlah wang simpanan bernilai RM20,000 milik pasangan suami isteri untuk digunakan bagi majlis perkahwinan anak mereka hangus dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Lundang, di Kota Bharu, jam 3 pagi tadi.
Mangsa, Mohd Razali Yusoff, 67, berkata, keseluruhan kerugian dianggarkan RM250,000.
Ia antaranya membabitkan wang simpanan RM12,000, barang kemas isteri bernilai lebih RM50,000, masing-masing sebuah Proton Preve dan Persona serta sebuah motosikal Yamaha Y15ZR.
Katanya, ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kecil.
“Sebaik keluar daripada bilik, saya terkejut melihat api marak. Saya terus mengejutkan isteri serta anak sebelum mendukung cucu lelaki berusia sembilan tahun untuk keluar menyelamatkan diri.
“Walaupun tinggal sehelai sepinggang, namun saya bersyukur kerana kami semua terselamat. Buat sementara, kami akan menumpang di rumah saudara,” katanya dalam laporan Harian Metro. – THE VOKAL