Joni Sang Lembu Sado – Bakal Jadi Korban
Seekor lembu sado baka limousine bernama Joni bakal menjadi sembelihan untuk ibadat korban pada sambutan Aidiladha nanti.
Tawaran lumayan mencecah RM14,000 mendorong seorang penternak bertindak menjual Joni, lembu kesayangannya itu.
Lembu jantan dengan berat lebih 700 kilogram (kg) itu milik Mohamad Zulfika Hassan, 29, dari Felda Kota Gelanggi Empat dekat sini. Kini, haiwan berkenaan sudah dibeli oleh seorang pembeli dari Melaka.
Mohamad Zulfika berkata, lembu sado berkenaan dibelinya tiga bulan lalu dari seorang penternak di Terengganu bagi tujuan pembiakan, di samping sebagai hobi dalam ternakan bersaiz besar.
Bagaimanapun katanya, disebabkan pembeli berkenaan yang begitu berminat untuk mendapatkan lembu terbabit untuk dijadikan haiwan korban, dia dengan rela hati mengambil keputusan menjualnya walaupun berat hati berbuat demikian.
Menurutnya, walaupun ‘Joni’ bersaiz besar dan kelihatan ganas dengan tanduk yang tajam tetapi sebenarnya lembu terbabit jinak dan mudah dikawal, sesiapa sahaja boleh memegang dan mengawalnya, dengan menggunakan tali.
Memetik laporan Harian Metro, dia pernah menjual seekor lembu ‘sado’ dengan harga RM7,000, namun selepas itu dia tidak lagi berminat memelihara lembu ‘sado’ kerana kos makanan yang semakin meningkat.
Dia kini hanya memiliki seekor lembu jenis berkenaan.
Mohamad Zulfika berkata, walaupun mampu meraih pendapatan lumayan setiap kali menjual lembu ‘sado’, namun dalam masa sama, kos makanan dikeluarkan juga tinggi terutama untuk menyediakan palet. – THE VOKAL