
Kastam Rampas Ayam RM2.75 Juta – Cubaan Elak Cukai
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas sembilan kontena mengandungi ayam beku bernilai RM2.75 juta di Pelabuhan Sepanggar di Kota Kinabalu, 7 Mei lalu.
Ayam beku yang dipercayai cuba mengelak cukai itu berjaya dikesan hasil analisa risiko daripada Unit Pemeriksaan Kontena dan aduan awam.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, semua kontena itu diikrarkan sebagai sayur-sayuran seperti ubi kentang dan kacang pis hijau.
“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati ia mengandungi daging ayam beku iaitu bahagian dada dan sayap serta tongkeng ayam.
“Semua bekalan ayam sejuk beku berkenaan dianggarkan bernilai RM2.75 juta dengan anggaran duti dan cukai terlibat sebanyak RM550,000,” kata pada sidang media seperti dilaporkan Harian Metro.
Mohd Nasir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 52 dan 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Katanya, tindakan penyeludup melakukan kegiatan itu bukan saja kerana mahu mengelak cukai tetapi juga disebabkan prosedur berkaitan pengesahan sijil halal yang perlu sebelum bekalan daging ayam dibenarkan dibawa masuk ke negara ini.
“Daging ayam antara makanan yang membawa banyak keuntungan jadi ada pihak mahu mengelak daripada dikenakan cukai.
“Selain itu banyak prosedur perlu dipatuhi termasuk sijil halal untuk membawa masuk daging ayam ke negara ini,” katanya. – THE VOKAL