
Sengaja Cari Nahas – Kumpulan Kelab Kereta Selamba Masak Di Stesen Petrol
Entah apa tujuan sekumpulan individu yang seolah-olah mencari nahas memasak dengan selamba di sebuah stesen petrol
Tindakan mereka yang dipercayai ahli kelab kereta berkumpul sambil memasak mi segera di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands menerima kecaman ramai.
Kejadian itu menjadi perbualan netizen yang hairan sikap berkenaan selepas video berdurasi 56 saat tular memaparkan mereka memasak mi segera menggunakan dapur secara terbuka.
Kumpulan itu turut dirakam menjamu selera sebelum sebuah kereta peronda polis (MPV) dilihat hadir ke lokasi berkenaan.


“Dekat stesen minyak nak hisap rokok pun tak boleh, dia siap masak. Tanda amaran larangan merokok, mati enjin kereta ada di situ tapi budak-budak ini bawak api masak terus dekat situ.
“Memang cari nahas betul, kalau meletup habis semua. Dia tak tahu ke mana-mana stesen minyak itu mudah terbakar?” itu antara komen warganet di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian terbabit. – THE VOKAL