
Bukan Seorang Suspek – Seorang Lagi Lelaki Ditahan Kes Simbah Asid
Polis menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden simbah asid terhadap bintang Selangor FC dan pemain kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Damansara, di sini, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, menurut sumber, suspek berusia 30-an.
Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian serangan terhadap pemain bola sepak negara itu ditahan di Pandan Indah, di sini
Suspek berusia 20 tahun itu ditahan berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan kelmarin.
Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.
Dia dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang. – THE VOKAL