Hujan Oh Hujan, Kenapa Tak Turun-Turun? – Penduduk Kelantan Risau
Penduduk di negeri Cik Siti Wan Kembang mula melahirkan rasa risau apabila negeri itu sudah tidak menerima hujan sejak dua bulan lalu.
Lebih membimbangkan rata-rata mendakwa situasi itu menyebabkan paras sungai-sungai utama mulai susut.
Memetik laporan Kosmo! di media sosial mendapati, cuaca panas yang tiada kesudahan itu telah mencetuskan kebimbangan kepada penduduk apabila sumber air mereka juga teruk terjejas akibat kemarau.
Menurut seorang penduduk di Ketereh, Jue Redzwan melalui laman Facebooknya, dia mengakui terkesan dengan situasi itu sehingga terpaksa ‘memunggah air’ untuk menyempurnakan rutin harian.
Sementara itu, pengguna Facebook lain, Nur Shafira berkata, bahang panas kemarau itu bukan sahaja terasa pada waktu siang malah mereka juga terpaksa tidur malam dalam keadaan berpeluh.
Malah, situasi ini juga dilihat bertambah buruk apabila kekurangan sumber air dan panas yang melampau menyebabkan hasil tanaman juga tidak menjadi.