
Gaduh-Gaduh Manja – Nedim Kata Okey
Suami kepada aktres Nora Danish, Nedim Nazri berkata dia dan isteri berada dalam keadaan baik-baik sahaja dan hal rumah tangga mereka hanya gaduh-gaduh manja.
Respon itu dikongsinya ketika menjawab pertanyaan pengikutnya dalam sesi siaran langsung dalam Instagram semalam.
Nedim atau Mohamad Nedim Nazri, 41, tidak menafikan ada pergaduhan antara mereka namun ia hanya masalah kecil sahaja.

“Saya okey, isteri saya pun okey. Tiada masalah. Relaks okey, jangan terlalu ambil apa yang mereka, katakan.
“Sudah tentu kami cuba cakap benda yang baik-baik tapi mungkin yang mereka (media) tulis itu salah,” katanya dalam satu sesi siaran langsung dalam Instagram, semalam.
Menurut ahli perniagaan itu, hubungan mereka juga seperti dulu termasuk menggunakan waktu berkualiti sebagai sebuah keluarga.
“Saya dan isteri adalah pasangan serta kawan baik. Jadi jangan gelabah, kita tenang-tenang sahaja. Alhamdulillah.
“Kami masih baik. Esok (hari ini) saya nak bawa isteri dan anak-anak keluar,” ujarnya.
Dalam perkongsian tersebut, Nedim turut berharap orang ramai tidak lagi memperkatakan khabar pergolakan rumah tangganya dengan Nora.
Menerusi sesi yang pada awalnya bertujuan mempromosikan produk baharu keluaran syarikat miliknya, dia turut menenangkan pengikutnya.
“Tak ada apa pun, saya sayangkan isteri saya. Tolonglah, jangan buat lawak mengarut. Janganlah cakap pasal berpisah, tak baik.

“Saya dan isteri adalah rakan dan pasangan yang baik,” katanya sambil berulang kali menyatakan sangat menyayangi isterinya.
Mengulas isu tinggal berasingan, Nedim mengakui perkara berkenaan namun menjelaskan situasi tersebut disebabkan kediaman mereka masih dalam proses pengubahsuaian.
“Insya-Allah, tiada benda (isu), memang kami duduk berasingan sebab rumah masih dalam proses ubah suai,” katanya.
Sebelum ini Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, mengejutkan ramai apabila apabila mengakui rumah tangga mereka sedang bergolak selain mendedahkan sudah tiga bulan tidak sebumbung.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017. Pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl, 6. – THE VOKAL