Minat Sejak Menuntut Di Universiti – Chan Tamat Latihan Komando
Minatnya yang mendalam sejak menuntut di universiti menjadi pembakar semangat sehingga berjaya menamatkan latihan komando.
Leftenan Muda Chan Ming Youn menjadi penuntut tunggal berbangsa Cina yang berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Komando, hari ini.
Min Youn berkata, minatnya untuk menyertai latihan komando itu wujud selepas mengikuti program Askar Wataniah ketika menuntut di Universiti Tunku Abdul Rahman.
Memetik laporan Harian Metro, pelajar jurusan perakaunan itu berkata, sebelum ini juga dirinya tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang ketenteraan namun segala-galanya berubah ketika menyertai Askar Wataniah.
Dalam majlis itu seramai sembilan pegawai dengan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) menerima Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.
Kesemua mereka menerima penganugerahan itu selepas berjaya menamatkan pelbagai peringkat latihan selama 12 minggu.
Dalam pada itu, Ming Youn yang juga dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) berkata, beliau akan menambah lagi pengetahuan serta kepakaran sekali gus mampu menjadi pegawai yang berkualiti seterusnya membawa nama baik Komando. – THE VOKAL