Kuah Gulai Ayam Goreng – Punca 20 Pelajar Keracunan Makanan
Kira-kira 20 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Kota Bharu menerima rawatan selepas disyaki terkena keracunan makanan.
Individu yang enggan namanya didedahkan berkata, pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun itu terkena keracunan makanan selepas dipercayai menikmati nasi bungkus bersama kuah gulai dan ayam goreng.
Katanya, anak saudaranya juga menjadi salah seorang mangsa keracunan makanan dan menerima rawatan di sebuah klinik.
Menurutnya, dia berharap kesemua pelajar tidak terkena gejala yang teruk dan semoga mereka cepat sembuh.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kes itu.