
KDA Selesai Tunggakan Gaji 2023 – Hijau Kuning Sedia Bangkit
Isu tunggakan gaji skuad Hijau Kuning selesai dan dijangka mampu menjadi penyuntik semangat pasukan itu kembali gemilang di persada bola sepak negara.
Penyokong juga sudah boleh menarik nafas lega apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan telah menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023 untuk semua pemain dan pegawainya.
Pembayaran tunggakan gaji itu merangkumi pasukan utama Liga Super, KDA FC B (Piala MFL- Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden-Bawah 20 Tahun) dan KDA FC D.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, kesemua tunggakan termasuk kepada staf pentadbiran kelab dilakukan pada kelmarin.
“Alhamdulillah, pihak pengurusan berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak hujung tahun lepas dengan daya usaha semua terutamanya pemilik, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar yang tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik.
“Dengan selesainya isu tunggakan gaji tahun kewangan 2023 sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) iaitu 20 April ini, bermakna KDA FC telah memenuhi syarat seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Menurut Shahrul, pihaknya turut menghargai bantuan penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang kepada usaha-usaha yang dilancarkan sebelum ini.
Tambahnya, sebagai sebuah kelab yang diswastakan sepenuhnya sejak penghujung 2020, kestabilan dan kelestarian kewangan adalah perkara penting dan mencabar untuk meneruskan kelangsungan operasi dalam kancah pertandingan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa.
“KDA FC memerlukan dana kewangan yang kukuh, stabil dan terjamin. Kami amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan daripada semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong.
“Saya positif dengan perkembangan situasi terkini, KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang untuk musim 2024/25 serta musim-musim mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu mengikut kerangka yang lebih cekap,” katanya. – THE VOKAL