Lokman Mohon Maaf Pada KJ – Kes Fitnah Vaksin Selesai
Kes saman fitnah antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu vaksin Covid -19 akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Memetik laporan Kosmo, kes itu selesai apabila Lokman bersetuju untuk memohon maaf dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan kepada Khairy.
Dalam prosiding di hadapan Hakim, Dr.John Lee Kien How @ Mohd. Johan sepatutnya ditetapkan bagi perbicaraan hari pertama kes saman itu, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik yang mana penyelesaian kemudian direkodkan mahkamah.
Terdahulu semasa prosiding peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Khairi berkata terma lain yang turut dipersetujui ialah Lokman memadam tujuh hantaran membabitkan gambar, video dan kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook serta Youtube ahli MKT UMNO itu.
Bagaimanapun semasa prosiding, Lokman tidak hadir dan diwakili peguam Logen Eskander Abdullah.
Khairy, 48, selaku plaintif memfailkan dua saman secara berasingan pada 25 Januari 2022 dengan menamakan Lokman, 51, dan Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, 43, sebagai defendan.
Prosiding hari ini hanya melibatkan kes saman terhadap Lokman.
Khairy memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari 2022, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari. – THE VOKAL