Aliff Aziz Masih Sayang Bella Astillah – Tak Jadi Cerai Ekspress
Aliff Aziz hari ini membuat kejutan mempertahankan rumah tangganya dengan Bella Astillah dan memilih untuk tidak bercerai.
Penyanyi dan pelakon itu mengakui masih sayang dan akan menggunakan segala ruang serta peluang untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.
Aliff, 33, berkata perceraian tidak boleh dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa, sekali gus tidak seharusnya dipengaruhi pihak lain.
Juara Gegar Vaganza musim kelapan itu juga sedia berdepan segala dugaan berhubung kemelut rumah tangganya yang semakin meruncing ketika ini.
Hari ini, Aliff membuat kejutan apabila berpendirian enggan melafazkan cerai terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, sedang menurut Bella perkara tersebut telah dipersetujui sejak awal tuntutan dibuat.
Pada 13 Mac lalu, Bella telah memfailkan perceraian secara ekspres terhadap Aliff namun penyanyi itu tidak muncul pada hari perbicaraan atas alasan ada penggambaran drama.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.
Pasangan itu pernah mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali kantoi berlaku curang namun kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh iddah. – THE VOKAL