
Sufian Pasang Langsir Raya – Akui Cinta Tak Jadi
Sufian Suhaimi bakal menjadi antara orang paling sibuk dalam keluarganya menjelang sambutan Syawal termasuk menukar langsir di rumah keluarganya di Muar, Johor.
Seperti selalu, penyanyi lagu Di Matamu itu akan pulang beberapa hari lebih awal bagi membantu keluarga membuat persiapan lebaran.
“Saya akan pulang awal beberapa hari dan bantu apa yang patut termasuk tukar langsir,” katanya yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran MVM Rusa.
Diusik masih beraya solo pada tahun ini, Sufian, 32, tidak melatah malah tenang dan menganggap itu semua takdir Allah.

Tidak berteka teki, dia mengakui hubungannya dengan wanita dikenali sebagai Rania Al Sadat kini hanya kawan biasa.

Akuinya, cincin risik kedua belah pihak sudah dipulangkan pada minggu kedua Ramadan, selain menegaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik sehingga hari ini.
“Hubungan kami masih baik cuma hubungan ‘merisik’ itu sudah tiada. Cincin risik sudah dipulangkan pada minggu kedua Ramadan.

“Masing-masing menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka tanpa ada rasa dendam. Hakikatnya selepas keputusan tersebut dibuat, kami masih berjumpa dan berbual.
“Lepas pulangkan cincin, kami pilih untuk saling menghormati ruang masing-masing,” katanya.
Sufian tidak menolak bahawa perpisahan yang berlaku atas sebab tidak sehaluan selepas membincangkan banyak perkara termasuk perihal kehidupan.

“Ini adalah keputusan bersama, tiada sebarang pergaduhan mahupun sebab orang ketiga.
“Saya rasa inilah hikmah adat merisik tersebut ialah berpeluang mengenali hati budi. Saya bersyukur dapat kenal dia, termasuk keluarganya dan tiada satu rasa penyesalan pun,” katanya.
Sufian juga tidak menolak mereka mungkin bersatu semula jika ada jodoh pada masa depan. – THE VOKAL