Awie Di Kerusi Pengarah – Rebel: Berontak Untuk Berotak Buah Tangan Sulung
Datuk Awie terus membuktikan dirinya anak seni versatile apabila kini duduk di kerusi pengarah setelah sohor sebagai penyanyi dan pelakon.
Diakui antara artis bertaraf Super Star di negara ini, beliau menghasilkan buah tangan arahannya sebuah filem aksi berjudul Rebel: Berontak Untuk Berotak
Bercerita lebih lanjut tentang permulaan beliau diberikan peluang mengarah filem, Awie memberitahu ia berlaku setelah pertemuan dengan Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London.
Menariknya, filem berkenaan menampilkan dua pelakon lelaki popular iaitu Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, selain Shiqin Kamal, Azlan Komeng dan Awie sendiri yang turut berlakon.
Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan tentang perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique), meskipun mereka berada dalam sebuah pertubuhan yang sama.
Biarpun idea dan cerita asal filem Rebel ini adalah cetusan daripada dirinya sendiri, Awie menyatakan jalan ceritanya langsung tiada berkaitan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan.
Jelas Awie, apa yang ingin dipaparkan olehnya adalah tentang proses ‘baik pulih’ dalam sesebuah pertubuhan yang mungkin ada berlaku sebarang kepincangan.
Memandangkan Rebel ini merupakah naskhah sulung buat dirinya selaku pengarah, Awie meletakkan harapan yang tinggi agar filemnya itu dapat diterima penonton.
Sementara itu, Zamin Fakry Zainol selaku penerbit berkata, pemilihan Awie selaku pengarah dibuat lantaran pengalaman luas beliau dalam bidang lakonan.
Dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta, filem Rebel akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Mei 2024. – THE VOKAL