Anggap Ujian Teguran Allah – Safee Sali Minta Bekas Isteri Guna Saluran Betul
Bekas bintang bola sepak, Safee Sali menganggap kegagalan rumah tangganya sebagai satu ujian dan teguran daripada Allah untuk sentiasa mengingati-Nya.
Dalam pada itu, dia berharap bekas isterinya menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah yang timbul bukannya menggunakan media sosial.
Dia berkata demikian ketika ditanya susulan pendedahan bekas isteri, Fitria Elfina Maharip mengenai kemelut rumah tangga di sebuah program podcast, baru-baru ini.
Menurut Safee, bekas isteri sepatutnya menggunakan saluran yang betul agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.
Pada masa sama, bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) yang kini penyampai di stesen radio Era berkata, dia sentiasa terbuka untuk berbincang mengenai hal anak-anak lebih-lebih lagi untuk sambutan Hari Raya tidak lama lagi.
Safee bernikah dengan Fitria Elfina, warga Indonesia pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Dia juga pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 sebelum berpisah pada 2 April 2012 dengan dua orang anak. – THE VOKAL