Sampai Bila Pun Takkan Pulih – Mimi Lana Akui Lalui Fasa Kesedihan
“Nak cakap pulih, sampai bila pun takkan pulih.” Demikian akui aktres berbakat besar Mimi Lana ketika di tanya episod sedih yang pernah dilaluinya.
Mimi mengulas hal itu ketika ditanya pengalaman melalui impian untuk berkahwin yang tidak kesampaian.
Dia mengakui melalui fasa kesedihan apabila majlis perkahwinannya dengan aktor Syafiq Kyle yang sepatutnya berlangsung pada Ogos tahun lalu batal.
Bagaimanapun, Mimi berkata dia enggan terlalu melayan perasaan sedihnya sehingga memberi kesan kepada kehidupan harian dan orang sekelilingnya.
“Sudah tentu sebagai seorang wanita, kita dah cuba yang terbaik… sudah tentu sedih dan perasaan itu tak boleh nak tipu. Siapa yang lalui benda sama macam saya, mesti dia rasa sedih dan rasa ‘down’.
“Macam saya cakap sebelum ini, kita kena embrace feeling yang Allah berikan kepada kita. Kalau hari ini Allah nak beri kita rasa sedih, kita perlu menangis. Kalau happy, kita perlu happy.
“Tapi benda itu kena bersederhana supaya tak ada sampai terbawa-bawa sehingga beri kesan pada kehidupan kita dan makan diri kita balik,” katanya.
Mimi turut memilih untuk tidak berkongsi punca dan apa yang dilaluinya sepanjang tempoh kisah sedih berkenaan.
“Biarlah saya simpan untuk diri saya dan tidak sesuai untuk dikongsi dan menimbulkan banyak cerita bukan-bukan,” katanya.
Mimi ditemui di lokasi penggambaran drama siri Astro Original terbitan Astro Shaw berjudul First Wives di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, Mimi mengakui dia gembira mencuba watak komedi dalam drama terbaharu itu yang mengisahkan tentang isteri ditipu suami.
Akuinya, dia risau pada mulanya kerana tidak berasa dirinya seorang yang kelakar dan ia adalah cubaan pertamanya membawakan watak genre berkenaan.
“Mula-mula risau juga sebab naskhah ini ada mesej yang serius tapi dibawakan dengan karekter lawak.
“Alhamdulillah lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri,” katanya yang bakal menyambut Syawal di Taiping, Perak. – THE VOKAL