Polis Tahan Penyanyi Veteran – Pukul Abang Ipar
Polis menahan seorang penyanyi veteran yang didakwa memukul abang iparnya di sebuah flat perumahan yang terletak di Bandar Tun Razak, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, mangsa berusia 41 tahun itu berselisih faham dengan suspek pada jam 2 petang semalam.
Menurutnya, suspek yang juga adik ipar mangsa bertindak memukul dan mencederakannya di bahagian kepala serta badan menggunakan besi panjang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 12.01 tengah malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 64 tahun di Perkarangan IPD Cheras.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejadian berlaku di rumah ibu mentua suspek dan mereka sudah beberapa kali bergaduh sebelum ini akibat perselisihan faham keluarga namun kali ini lebih teruk
Difahamkan penyanyi lelaki itu pernah menyertai sebuah rancangan realiti televisyen sebelum ini. – THE VOKAL