Rezeki Ramadan. Itu yang dirasai seorang ibu tunggal selepas dirinya muncul pemenang pakej mengerjakan umrah dalam peraduan Imbas dan Menang jenama baju Melayu popular, Bulan Bintang.
Momen kemenangan video seorang ibu tunggal yang sebak selepas memenangi pakej menunaikan ibadah umrah tular di laman sosial dengan lebih 1 juta tontonan.
Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Akmal Firdaus Hushaimi, 23, yang memuat naik video terbabit di laman TikTok terharu apabila ibunya Norharizan Uda Osman, 49, memenangi peraduan terbabit.
Dek kerana video viral yang membuatkan ramai sebak, pengasas jenama terbabit, Azzim Zahid Azmi atau Meri turun padang sendiri bertemu ibu tunggal terbabit di Ipoh, Perak.
Menerusi video temu bual Meri dengan Norharizan yang dikongsikan di laman TikTok, ibu tunggal itu sudah tiga tahun menanam impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Tambah Norharizan, dia tidak menyangka rezeki kali pertama berbelanja baju sedondon untuk anak-anak menjadi punca rezeki untuk dirinya menunaikan ibadah terbabit.
Norharizan memenangi pakej Umrah untuk dua orang bernilai RM12,090 untuk setiap seorang.
Menerusi kempen Terrrrpaling Raya Bulan Bintang menawarkan hadiah bernilai lebih RM3 juta untuk semua pelanggan tahun ini.
Antara hadiah yang ditawarkan adalah 10 Perodua Myvi dan Bezza, iPhone 15, emas 999, pakej umrah dan banyak lagi. – THE VOKAL