Sekilas Ahad : Lima Rangkuman Berita Menarik 17 Mac 2024
- Bina Rumah Hasil TikTok – Setahun Aktif Niaga
Tidak sampai setahun aktif berniaga, wanita Orang Asli dari Suku Jahut ini bakal memiliki rumah impiannya Mei ini yang dibina hasil jualan menerusi TikTok.
Walaupun hanya rumah kecil untuk berteduh seisi keluarga, namun sudah cukup memberikan kepuasan kepada Nur Rafidah Man, 26, dari Kampung Penderas, Kuala Krau, Pahang.
Dia yang mula berniaga sejak November lalu dengan menghasilkan produk sendiri berasaskan sumber hutan seperti kacip fatimah, tongkat ali dan madu, tidak menyangka perkongsian rutin harian, adat resam Orang Asli serta pemandangan suasana di kampungnya di aplikasi itu telah membuka pintu rezeki.
- Dhia Dijumpai – Dalam Keadaan Selamat
Kanak-kanak perempuan, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemukan dalam keadaan selamat di Sri Rampai, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kanak-kanak itu ditemukan oleh orang awam, 2.20 pagi tadi.
- Bayi Maut Dikelar Ibu – Maut Di Lokasi Kejadian
Bayi lelaki berusia setahun enam bulan yang dilaporkan maut di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang semalam sah dikelar pada bahagian leher.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi berkata, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Uwais Mohd. Khairul itu maut di lokasi kejadian.
- Siang Medan Selera – Malam Pusat Layan Nafsu
Taktik licik pusat pelacuran berselindung di sebalik medan selera terbongkar selepas menjadi antara 11 premis diserbu polis di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang, semalam.
Setiap harga wanita pelayan pelanggan (GRO) ditetapkan melalui Kalung Bunga yang mana menjadi simbolik harga tertentu dan kemudiannya pelanggan boleh membawa keluar perempuan warga asing tersebut bagi tujuan perkhidmatan seks.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua premis itu diserbu pasukan polis bermula pukul 2.50 petang sehingga pukul 11 malam.
- Bukan Saya – Bella Nafi Rancang Perangkap Aliff
Pelakon Bella Astillah, 30, tepis spekulasi mendakwa dia sendiri membuat perancangan tangkapan suaminya Aliff Aziz dan Ruhainies terhadap kes khalwat mereka baru-baru ini.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah akui terkejut dan takkan tergamak menjerat Ruhainies yang dianggapkan sebagai rakan baik.