Momen Indah Pasukan Kami – Perasaan Sukar Dilafaz Saat Lihat Penyanyi Nombor Satu Negara Sarung Baju Bianca Bella
Bagi pereka muda Amirul Safwan, tiada kata yang boleh digambarkan saat melihat penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memakai baju rekaannya lebih-lebih lagi dalam sebuah konsert mega penyanyi itu.
Pengasas jenama Bianca Bella, Amirul, 28, yang merendah diri berkongsi dia dan pasukannya teruja saat melihat baju mereka menjadi pilihan dan digayakan dalam konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Digelar Adik Bianca oleh Siti Nurhaliza, Amirul berkata baju berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan serta dibantu Shafik Izzuddin dan Norshazratul Aisyah.
Katanya, warna dan material yang digunakan bagi busana itu ialah songket tempatan yang dipilih sendiri oleh Siti Nurhaliza.
Bianca Bella beroperasi di Duyung, Melaka sudah dua tahun aktif dan menawarkan koleksi rekaan baju eksklusif terutama untuk raja sehari.
Lebih bermakna apabila baju rekaannya itu mendapat pujian ramai termasuk netizen yang memilih ia antara yang terbaik pernah disarungkan oleh penyanyi Menyapa Dunia itu.
Siti Nurhaliza turut dipuji kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada pereka muda untuk menyiapkan baju dalam konsert berskala besarnya.
Perkongsian Siti Nurhaliza pada hantaran di akaun Instagram miliknya mendapat hampir 40,000 tanda suka dengan 400 komen.
Bercerita lanjut, Amirul mengakui terharu dan kagum dengan sifat merendah diri Siti Nurhaliza.
Amirul juga mengakui berkat doa ibu bapa juga antara yang memungkinkan segalanya dan menjadikan semua ini kenyataan.
Baju rekaannya dalam rona emas merah hati gelap, digayakan oleh Siti Nurhaliza pada segmen Bayu Timur di konsert yang berlangsung pada 9 Mac lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil. – THE VOKAL