Sekilas Ahad : Lima Rangkuman Berita Menarik 10 Mac 2024
- Umat Islam Mula Puasa – 1 Ramadan Selasa Ini
Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
- Rugi Lebih RM30,000 – Terpedaya Tawaran Kerja Di Instagram
Seorang pemuda kerugian RM30,700 akibat penipuan tawaran kerja sambilan melalui media sosial Instagram.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata kejadian bermula apabila lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sendiri itu ditawarkan pekerjaan jual beli barang oleh admin (pentadbir) sebuah akaun Instagram pada 26 Feb lalu.
Beliau berkata mangsa yang ragu-ragu akhirnya terpedaya selepas dijanjikan komisen lumayan bagi setiap tugasan dijalankan.
- Konon Nak Memancing – Tapi Terlibat Dadah
Seorang lelaki tempatan dengan alasan ingin memancing di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Masai antara 25 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata lelaki berusia 40-an tanpa membawa sebarang kelengkapan memancing itu ditahan di ladang terbabit bersama 16 individu lain menerusi Op Bersepadu manakala lapan lagi ditahan dalam pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam Op Cegah.
Beliau berkata kesemua individu itu ditahan setakat 7 malam ini, dalam kedua-dua operasi yang dijalankan serentak bermula sekitar 10 pagi hari ini.
- Saya Tiada Menantu – Abby Abadi Masih Tunggu Bukti
Pelakon Abby Abadi mendedahkan masih menanti bukti kesahihan perkahwinan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim dengan Ahmad Aslam yang didakwa berlangsung di Thailand.
Tidak tahu hujung pangkal, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, berkata dirinya tidak mempunyai menantu selagi status perkahwinan anak keduanya itu masih belum diketahui.
- Murid & Pelajar Sekolah Boleh Pakai Baju T – Ekoran Musim Panas
Murid dan pelajar sekolah dibenarkan untuk memakai baju T sebagai alternatif kepada pakaian seragam sewaktu musim panas ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, apa yang penting kehadiran murid dan pelajar tersebut ke sekolah pada sesi penggal baharu yang bermula semalam.