
Bayi Lelaki Depan Kedai – Sihat Sudah Potong Tali Pusat
Seorang bayi lelaki ditemui pemilik kedai di hadapan rumah kedai Court 4 USJ, Subang Jaya, Selangor hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 8.13 pagi tadi.

“Bayi itu yang tidak bertali pusat ditemui pemilik kedai di lokasi berkenaan dalam keadaan sihat.
“Bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi penyiasat kes, Sarjan Sharifah Fatimah Marhidayani Syed Muhammad di talian 017-9149376.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 bagi membantu siasatan. – THE VOKAL