13 Kes Cuaca Panas – Strok Dan Kelesuan Haba
Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 13 kes berkaitan cuaca panas sejak minggu pertama hingga kesembilan tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat kes membabitkan strok haba dan sembilan kerana kelesuan haba.
Beliau berkata bilangan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah tujuh di Perak, Kedah (lima), dan satu di Sabah.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba, iaitu merujuk kepada suhu maksium harian 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, Muhammad Radzi mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan ketika cuaca panas terutama pada Ramadan ini seperti merancang aktiviti di luar rumah dengan mengelak waktu puncak cuaca panas antara 11 pagi hingga 4 petang.
Beliau berkata pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Orang ramai diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan jika mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas, katanya. – THE VOKAL